Friday 20 July 2012

Cerita Di Sebalik Ramadhan... !



Nak menyibuk kat atas ni jap.. hehe :P




“Apabila datangnya Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka, dan diikat syaitan-syaitan.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Wahh~ Di buka hanya pintu syurga? Ya, itulah antara janji Allah buat kita hamba-hambaNya yang lemah ini. Kita kerdil, lemah, kadang-kadang angkuh, tetapi Allah tetap sayang pada kita. Pasti ada sahaja ganjaran buat siapa sahaja yang melakukan kebaikan di jalanNya. Walau dengan semudah menyebut kalimah “la hawla wala quwwata illa billah”  ini pun insyaAllah kita boleh menumbuhkan sepohon pokok di atas tanah yang luas dan subur di syurga nanti. Bukankah di sana itu tempat kediaman kekal kita kelak, kenapa tidak kita membina ‘rumah’ yang terbaik buat kita dari sekarang? YE, BERMULA DARI SEKARANG . Bulan di mana kita seharusnya membuat persediaan untuk diri sendiri untuk menjemput kedatangan Ramadhan.

Bulan Ramadhan pasti di tunggu-tunggu oleh seluruh Umat Islam tak kira di mana kita berada. Kita bukan sahaja tidak sabar untuk menjalankan tugas kita berpuasa selama sebulan malah kita juga berlumba-lumba mahu meningkatkan amalan kita. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Kerinduan pada bulan Ramadhan semakin mekar tatkala Syabaan semakin menghujung kerana Ramadhan kian menjelma. Kita membuat persediaan untuk menghadapi Ramadhan sejak dari bulan Rejab lagi, tetapi adakah kita tahu cerita di sebalik bulan Ramadhan ini? Adakah kita menghayati kisah Rasulullah dan para sahabat baginda suatu masa dahulu ketika bulan Ramadhan? Alhamdulillah, saya percaya ramai  di kalangan kita yang bukan sahaja mengamalkan amalan Rasulullah malah menghayati sirah Rasulullah ini. Namun, bagi yang belum sempat membaca mengenai sejarah Ramadhan ini, marilah kita sama-sama menghayati cerita di sebalik Ramadhan di suatu masa dahulu.

Cerita 1.  Hari Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke-2 Hijrah.
Terjadinya perang pertama di dalam Islam iaitu Perang Badar. Perang ini ialah perang yang berjaya memisahkan antara yang benar dan yang bathil (tidak benar). Semasa perang ini jugalah terbunuhnya firaun ummah iaitu Abu Jahal, musuh utama Islam.
Hal ini telah diceritakan oleh Dr Said Ramadhan al Boutie dalam kitabnya Feqh al Sirah al Nabawiyyah pada halaman 158. Al Mubarakfourie juga ada menyatakannya di dalam al Rahiq al Makhtum pada halaman 249. Dr Wahbah al Zuhailie menyokong pendapat ini dan menyatakannya di dalam al Feqhul Islam wa adillatuh pada halaman 575.
Cerita 2.  Hari Selasa, 17 Ramadhan, tahun ke-8 Hijrah.
Tanggal ini merupakan hari Fathu Makkah  iaitu Hari Pembukaan Kota Mekah. Pembukaan kota Mekah ialah salah satu peristiwa yang terbesar dalam sejarah Islam. Peristiwa ini yang menyebabkan kekuatan islam dan penyebarannya mula melebar ke serata alam. Peristiwa ini dianggap satu kejayaan kepada Islam. Malah peristiwa ini merupakan tarikh keramat kepada kesempurnaan Islam. Seperti di dalam surah al Fath, ayat 1;
‘Sungguh, kami telah memberikan kepada kamu kemenangan yang nyata’

Rasulullah dan umat Islam berpuasa ketika bertolak dari Madinah dan sampai di Kadid, di antara I’sfan dan Amaj, baginda berbuka puasa. Hal ini telah dinyatakan oleh Abdul Salam Harun di dalam kitab Tahzib Sirah Ibn Hisyam, pada halaman 198.

Cerita 3.  Ramadhan, tahun ke-9 Hijrah.
Berlakunya peristiwa Perang Tabuk. Terdapat beberapa peperangan Tabuk pada bulan ramadhan tahun 9 hijrah. Baginda keluar ke Tabuk pada bulan Rejab dan kembali ketika bulan Ramadhan. Peperangan ini memakan masa selama 50 hari. Secara tepatnya, peperangan di Tabuk memakan masa selama 20 hari sahaja. Manakala bakinya berlaku sepanjang perjalanan pergi dan balik. Peperangan Tabuk ialah peperangan yang terakhir yang diikuti oleh baginda s.a.w. Peristiwa ini telah diberitahu kepada kita melalui kitab al rahiq al Makhtum, karangan al Mubarakfourie, pada halaman 517.
Cerita 4.  21 Ramadhan tahun 610 Masihi.
Hari Al- Quran diturunkan buat kita sebagai petunjuk dan peringatan. Peristiwa wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w di Gua Hira’ berlaku pada waktu malam. Baginda ketika itu berusia tepat 40 tahun 6 bulan 12 hari. Berlaku perselisihan dalam kalangan ulamak, peristiwa kenabian itu berlaku di bulan Ramadhan. Ada juga berpendapat ianya berlaku pada bulan rabi’ul awwal. Ada juga yang mengatakan dalam bulan Rejab. Tetapi kami merajihkan ianya berlaku dalam bulan Ramadhan. Seperti mana firman Allah SWT di dalam surah al Baqarah, ayat 185;
‘Bulan Ramadhan adalah bulan yang didalamnya diturunkan Al-Qur’an…’
Allah juga berfirman di dalam Surah al Qadr, ayat 1;   bahawasanya
‘Sesungguhnya kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam Lailatul Qadar’
Dan seperti mana yang kita ketahui, malam lailatul qadar itu jatuhnya dalam bulan Ramadhan.  Ia dikuatkan lagi dengan firman Allah di dalam surah al Dukhan, ayat 3;
‘Sesungguhnya kami menurunkannya (Al-Quran) pada malam yang diberkati. Sungguh, kamilah yang memberi peringatan’
Rasulullah s.a.w berada di gua Hira pada bulan Ramadhan, jesteru peristiwa penurunan al Quran itu berlaku pada bulan Ramadhan juga seperti yang kita ketahui. Namun, pendapat 17 Ramadhan adalah tarikh awal penurunan wahyu adalah pendapat jumhur ulamak.
Cerita 5.  Ramadhan
Peristiwa penghantaran batalion perang selepas Fathu Mekah yang bertujuan memusnahkan musuh. Kesemuanya itu berlaku dalam bulan Ramadhan. Penghantaran tersebut adalah seperti berikut :

i. Rasulullah s.a.w mengutuskan Khalid bin al Walid ke a’za. Penghantaran tersebut berlaku 5 hari terakhir di dalam bulan Ramadhan dalam tahun 8 Hijrah.
ii. Di utus Amru bin al A’s ke Suwa’. Lebih kurang 3 km dari Mekah.
iii. Di utus Saad bin Zaid al ashhilie ke minat bersama 20 tentera berkuda.

Cerita 6.  Ramadhan, tahun 9 Hijrah. 
Peristiwa ini dikenali sebagai peristiwa pengislaman rombongan tsaqifSelepas kepulangan Rasulullah s.a.w ke Madinah dari Tabuk dalam bulan Ramadhan, baginda telah didatangi rombongan Tsaqif daripada Thoif yang ingin menganut Islam. Hal ini telah dinyatakan dalam Sirah Ibn Hisyam pada jilid 4, halaman 141-144.
Cerita 7.  Hari Jumaat, 25 Ramadhan, tahun ke-479 Hijrah.
Pada subuh hari tersebut, telah berlaku Perang al Zilaqah (laut yang terletak berdekatan dengan Portugal sekarang ini). Peperangan ini telah dimenangi oleh tentera Portugis yang memiliki kekutan sebanyak 1000 tentera di bawah pimpinan Alfonso ke 6, raja Qisyhtallah. Peristiwa ini disebut di dalam al Feqhul Islam wa adillatuh, karangan Dr Wahbah al Zuhailie, jilid 2 halaman 572.
Di dalam kitab Tarikh al Islam, karangan asan Ibrahim Hasan, jilid 4 halaman 118 menyatakan, seandainya Yusuf bin Tashfin yang menerima seruan jihad tersebut dan mengetuai tentera muslimin dalam peperangan al zilaqah dan menang dalam peperangan tersebut, nescaya eropah kini sudah menganut Islam. Lihat sahaja kesan tersebut, beberapa universiti di Moscow, Berlin, London dan Paris telah menyediakan ruang untuk menyelidik al Quran.

Cerita 8.  Hari Jumaat, 15 Ramadhan, tahun ke-658 Hijrah.
Peperangan Ain Jalut ini berlaku di Ain Jalut (perkampungan diantara bisan dan Nablus di Palestin).  Dalam peperangan tersebut, tentera Monggol telah kalah dengan tentera kerajaan Mamalik. Kekalahan tersebut adalah titik penting berhentinya penguasaan tentera Monggol terhadap asia barat. Malah peristiwa tersebut telah membawa kepada kemerdekaan Mesir dan penggabungan antara Mesir dan Syam. Peristiwa ini telah digarap dengan teliti di dalam kitab al Alam al Islami fil asr al Mughulie, pada halaman 48.
Cerita 9.  28 Ramadhan, tahun ke-92 Hijrah.
Peristiwa pembukaan Andalus ini diketuai oleh Thoriq bin Ziyad selepas kekalahan tentera pimpinan Roderick dalam peperangan yang cukup getir iaitu peperangan al Buhairah. Peperangan tersebut berlaku selepas tentera muslimin menawan Jabal thoriq atau Jabraltar. Kemudian, berlakulah penawanan Cordova ( Qurtubah ),Granada ( gharnatah ) dan Thulaitolah di Andalus. Sejarah ini boleh dirujuk melalui kitab al Tarikh al Siyasie Liddaulah al Arabiah, karangan Dr Abdul Mun’im Majid, jilid 2 halaman 204.
Terdapat banyak cerita di sebalik bulan Ramadhan bukan? Dengan menghayati peristiwa-peristiwa seperti inilah insyaAllah kita akan lebih berjaya menghayati bulan Ramadhan yang bakal tiba nanti. Lagipun, siapa tahu Ramadhan ini mungkin yang terakhir buat kita, kenapa tidak kita gunakan dengan sebaik-baiknya? Wallahu’alam..
 “Sesungguhnya dalam syurga terdapat sebuah pintu yang dikenali dengan nama Rayyan, dimana memasuki daripadanya orang orang yang berpuasa pada hari kiamat dan yang lain tidak berhak. Dikatakan mana orang yang berpuasa? Lantas mereka bangun dan masuk melaluinya. Apabila selesai ditutup dan tiada yang lain berhak memasukinya.” Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.




SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK.... :)

Thanks sudi baca entry saya... Suka??? Like je.. Hehehe

No comments:

Post a Comment