Thursday 9 August 2012

Salam Lailatul Qadar...





Ibadah puasa akan berakhir tidak lama lagi. Semakin hampir tiba ke penghujungnya, semakin terasa nikmatnya. Apa lagi jika kita dapat menambah amalan kita pada 10 malam terakhir Ramadan.


Sesungguhnya berbahagialah mereka yang mampu melaksanakannya dengan sempurna. Ini kerana di dalamnya mengandungi begitu banyak ganjaran pahala Allah kepada sesiapa yang berjaya melakukannya. Selain meraih ganjaran tidak terkira daripada Allah, mereka yang berpuasa juga akan bertambah sihat tubuhnya. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. berpesan yang bermaksud:

 'Berpuasalah nescaya kamu sihat'.


Sepotong hadis Nabi s.a.w. yang lain mengingatkan kita (bermaksud):

'Barang siapa melaksanakan puasa Ramadan kerana iman dan hendak mendapatkan pahala, nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.' (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Ibnu Abbas ra meriwayatkan:

'Diutus kepada Rasulullah s.a.w. kisah seorang lelaki Bani Israel yang begitu berani menghunus pedang di atas kudanya dalam berjihad (berperang) membela agama Allah seribu bulan. Rasulullah s.a.w. amat tertarik dengan cerita itu dan mengharapkan agar umatnya juga mendapat peluang yang sama. Maka baginda berdoa: 'Ya Tuhanku, Engkau jadikan umatku lebih pendek umurnya dan lebih sedikit amalnya.' 'Kemudian Allah swt mengurniakan baginda dan umatnya lailatul qadar (malam mulia), yang lebih baik daripada 1,000 bulan.' Dikatakan bahawa lelaki itu bernama Syam'un. Beliau berperang dengan musuh selama 1,000 bulan. Tidak pernah kering bulu tengkuk kudanya. Sesungguhnya orang-orang kafir amat gentar apabila berhadapan dengannya.

Abu Hurairah r.a menjelaskan (yang bermaksud):

'Pada malam lailatul qadar, para malaikat yang turun ke bumi adalah lebih banyak daripada batu kerikil. Pintu langit dibuka untuk mereka turun sebagaimana yang telah dijelaskan. Maka tersingkaplah kerajaan langit dan bumi itu oleh pancaran cahaya. 'Kerajaan langit dan bumi itu dibukakan tabirnya hingga dapat dilihat para malaikat dalam rupa asal mereka. Ada yang berdiri, duduk, rukuk, sujud, berzikir, bertasbih dan bertahlil. 'Ada juga yang dibukakan tabir syurga dan dapat melihat mahligai-mahligai, taman, para bidadari, sungai, pepohonan dan buah-buahannya. Bahkan ada juga yang dapat melihat tempat para nabi, rasul, wali dan syuhada. 'Kemudian ada juga yang melihat neraka dengan segala isinya serta tingkat orang-orang kafir. Malahan, ada pula sesetengahnya yang dibukakan tabir antara dia dengan Allah s.w.t..'


Sayidina Umar ra mengisahkan Rasulullah s.a.w. bersabda:

'Sesiapa yang menghidupkan malam 27 bulan Ramadan hingga ke subuh, dia lebih aku sukai daripada beribadah tiap malam Ramadan seluruhnya.'

Sayidatina Fatimah r.a. lalu bertanya: 

'Wahai ayahku, apa yang mesti dilakukan oleh lelaki dan perempuan yang tidak mampu beribadat malam?' 

Baginda menjawab: 

'Hendaknya mereka jangan terus tidur, kemudian mereka duduk sesaat sahaja pada malam itu untuk memanjatkan doa kepada Allah s.w.t.. Itu lebih aku sukai daripada ibadah umatku seluruhnya pada bulan Ramadan.'

Sayidatina Aisyah r.a. meriwayatkan Rasulullah s.a.w. bersabda:

'Sesiapa yang menghidupkan malam lailatul qadar, melakukan solat dua rakaat dan memohon keampunan kepada Allah, tentulah Allah mengampuninya, dia menyelam dalam rahmat Allah, serta Jibrail mengusapnya dengan sayapnya. Dan sesiapa yang diusap dengan sayapnya dia akan masuk syurga.'

Ramai ulama bertanya mengapa Allah menawarkan nilai pahala begitu banyak - sepanjang usia kebanyakan para nabi terdahulu sebelum Nabi Muhammad s.a.w.?

Di dalam tafsir Al-Jami'li ahkamil Quran atau lebih dikenali dengan Tafsir al Qurtubi, dijelaskan seperti berikut:

'Dalam bukunya Al Muwaththa, Imam Malik menjelaskan suatu riwayat daripada ibnu Qasim dan lain-lain: 'Saya dengar orang yang saya percaya berkata: Bahawa Rasulullah s.a.w. diperlihatkan kepadanya umur umat yang terdahulu. Maka Rasulullah s.a.w. berasa terlalu sedikit umur umatnya, sehingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang dicapai oleh umat lainnya, kerana umur mereka yang panjang itu. Oleh itu Allah memberikan kepada Rasulullah lailatul qadar yang mempunyai nilai pahala 1,000 bulan.'

Menurut sebuah hadis, purata umur umat Nabi Muhammad adalah antara 60 dengan 70 tahun. Sedikit yang lebih daripada itu, manakala umat para nabi yang lain ada yang mencapai ratusan tahun. Maka, demi mengimbangi amal mereka yang panjang umurnya, Allah menganugerahi umat Muhammad dengan lailatul qadar.

Para imam mazhab, termasuk Imam Syafie, telah membuat kajian mengenai bilakah lailatulqadar itu. Ada yang berpendapat ia berlaku pada malam 27 Ramadan. Ada yang menyatakan pada malam 21, 23 atau 25. Masing-masing dengan alasan dan hujah mereka. Bagaimanapun, Allahlah yang lebih mengetahuinya.

Ulama menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan lailatulqadar ialah berjaga malam demi menghidupkan malam Ramadan dengan beribadah: mendirikan ibadah-ibadah malam seperti solat-solat sunat, bertadarus, berzikir, berdoa dan lain-lain.

Sepotong hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud:

'Apabila masuk 10 hari akhir Ramadan, Rasulullah bangun dan berjaga malam untuk ibadah. Baginda menghidupkan malam itu dengan menambahkan ketaatan kepada Allah dan menghidupkan jiwanya (dirinya) dengan tidak tidur, kerana tidur sebenarnya saudara kepada mati.'




Thanks sudi baca entry saya... Suka??? Like je.. Hehehe

No comments:

Post a Comment